Thursday, May 21, 2020

5 Tahun di Putrajaya

Assalamualaikum wbt.

Setelah memperoleh keputusan yang agak cemerlang sewaktu peperiksaan UPSR pada 2011, saya telah membuat permohonan untuk kemasukan ke sbp dan mrsm. Untuk kemasukan ke sbp, saya telah dipilih untuk ditemuduga di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA) yang merupakan pilihan pertama saya. Sesi temuduga berjalan dengan lancar dan baik dan tidaklah mengharapkan kemasukan ke sekolah selain daripada itu.

Pada akhir tahun 2011, keputusan temuduga tersebut telah keluar dan saya ditawarkan untuk menyambungkan persekolahan di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. Wow! Memang tidak terfikir untuk bersekolah di sana yang terletak amatlah jauh daripada rumah dan negeri kelahiran. Keputusan untuk menolak tawaran tersebut adalah amat tinggi dan hampir mustahil. Namun, pada saat2 akhir, saya diaruh untuk menerima tawaran tersebut maka bersekolahlah di sana untuk 5 tahun.

Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) ini bukan satu nama kecil dalam pendidikan di Malaysia memandangkan ianya sarat dengan gelaran dan status yang dilabelkan ke atas sekolah bertuah ini. Antara gelaran sekolah ini ialah Sekolah di bawah naungan KDYMM Sultan Selangor, ssbp, sbp premier, sekolah kluster, sekolah band 1, sekolah bestari, sekolah strategik dan lain-lain. Maka, kesemua ini telah menjanjikan pengalaman pembelajaran yang unik dan 'exceptional' kepada para pelajarnya. Perkara ini boleh dibuktikan menerusi begitu ramai tokoh-tokoh negara yang dilahirkan menerusi institusi ini.

Berkaitan dengan profesionalisme keguruan, guru-guru di sekolah ini bukanlah mereka yang biasa memandangkan sebahagian besar mereka merupakan guru cemerlang, jurulatih utama kebangsaan yang begitu aktif dalam hub pendidikan ini. Maka, guru-guru ini merupakan tulang belakang yang dominan dalam mengekalkan kecemerlangan sekolah ini. Dengan adanya guru hebat seperti ini saya yakin dan percaya bahawa mereka telah membimbing kesemua guru-guru lain untuk mengikuti jejak dan langkah yang sama menerusi sesi PLC dan sebagainya. Kesannya, penyampaian pengetahuan kepada murid akan berjalan dengan lebih lancar dan seragam.

Contohnya, semasa saya di tingkatan 5, saya telah diajar oleh 10 orang guru yang merupakan guru cemerlang di dalam subjek kepakaran masing-masing. Lebih bertuah lagi, dua orang daripada mereka merupakan Guru Cemerlang Gred Khas C iaitu guru Sejarah dan Matematik Tambahan. Guru-guru ini amatlah aktif dalam bidang pendidikan negara daripada proses menggubal kurikulum, buku teks, soalan peperiksaan apatah lagi perlaksanaannya di dalam bilik darjah. Mereka adalah amat pakar memandangkan mereka terlibat dalam merangka kurikulum subjek itu sendiri. Maka, penyampaian arahan daripada KPM dan LPM adalah amat jelas dan cepat kepada kami tanpa sebarang pencairan maklumat yang berlaku. Kesannya, para pelajar akan sentiasa didedahkan dengan maklumat yang terkini dan berkualiti oleh guru-guru hebat ini.

Disini ingin ditekankan bahawa, peranan Guru Cemerlang ini amat dominan dalam menjana kualiti murid yang holistik apatah lagi menguasai kemahiran, ilmu dan pengetahuan minimum yang ditetapkan oleh KPM menerusi pentaksiran menerusi pertumbuhan murid. Hasil gigih guru-guru ini telah membuahkan hasil kepada para pelajar dan diri saya sendiri secara peribadi menerusi pencapaian akademik sekolah yang kekal terbaik saban tahun. Alhamdulillah, saya telah memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan spm pada 2016 berkat usaha gigih guru-guru ini. Maka, guru cemerlang ini amatlah kritikal di sesebuah sekolah agar murid akan mampu menerima akses pendidikan yang lebih baik dan berkualiti. Disini tidaklah bermaksud bahawa guru yang belum cemerlang itu tidak baik namun saya yakin dan percaya setiap guru sedang berusaha untuk mencapai tahap berkenaan dan gelaran itu adalah tidak penting namun pengalaman yang diterima guru disepanjang proses ini adalah amat penting kepada pelajar.




No comments:

Post a Comment